Wednesday, July 22, 2009

Gerhana Matahari Separa Di Malaysia

PEMINAT astronomi pastinya gembira menyaksikan fenomena luar biasa gerhana mata hari yang berlaku hari ini.

Fenomena sekali dalam tempoh beratus-ratus tahun ini bagaimanapun hanya dinikmati oleh sebahagian penduduk dunia sahaja. Gerhana berkenaan hanya melintasi rantau India dan China sahaja.

Ia berbeza dengan gerhana matahari biasa seperti yang berlaku pada 26 Januari lalu. Ketika itu ia dapat dilihat oleh rakyat negara ini walaupun ia lebih jelas di selatan Sarawak yang terasa jalur gerhana tersebut.

Bagaimanapun sebahagian besar kawasan negara ini berada dalam keadaan gelap pada sebelah petang. Lebih 80 peratus permukaan matahari tidak dapat dilihat di Semenanjung sementara di Sabah dan Sarawak, kegelapan adalah 95 peratus.

Gerhana jenis ini digelar gerhana tahunan. Ia berlaku dalam jarak waktu yang pendek, seperti selang satu atau dua tahun, akan muncul gerhana jenis ini.

Apa yang akan berlaku pada pertengahan pagi ini ialah terjadinya gerhana yang agak lama berbanding dengan yang berlaku pada setiap tahun. Gerhana matahari bermakna situasi bulan berada di antara bumi dan matahari. Ketika itu bumi tidak dapat menerima sinarannya kerana saat itu bulan menghalang sinaran matahari sampai ke bumi. Gerhana akan berlaku apabila bayang matahari kelihatan selama 6 minit 39 saat mengikut kiraan ahli astronomi.

Gerhana matahari akan kelihatan saat fajar menyingsing di Teluk Khambhat, utara Mumbai, India. Kemudian bayangan gerhana akan bergerak ke arah timur menyeberangi kawasan India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan, dan China sebelum berakhir di Samudra Pasifik.

Gerhana ini juga akan melintasi beberapa pulau di wilayah selatan Jepun dan terlihat terakhir kali dari Pulau Nikumaroro yang terletak di Pasifik Selatan. Salah satu daerah yang paling baik untuk menyaksikan peristiwa ini adalah seluruh kota Shanghai dan pulau-pulau di bahagian selatan Jepun yang akan tertutup oleh kegelapan pada siang hari.

Sebelum ini gerhana total matahari pernah terjadi pada bulan Ogos 2008 tetapi tempohnya adalah selama 2 minit dan 27 saat.

Satu lagi peristiwa gerhana penuh di Malaysia akan berlaku pada 20 April 2042 dan hanya Sarawak dan tidak Malaysia Barat akan dapat melihatnya. Kemudian kita kena tunggu 40 tahun lagi selepas tahun 2042 untuk melihat gerhana penuh persisnya pada 24 Ogos 2082.

Itu sebabnya orang mengatakan hanya sekali dalam hayat hidup seseorang itu boleh melihat fenomema gerhana matahari total. Tetapi bagi gerhana total yang begitu lama seperti yang terjadi hari ini, akan berulang semula dalam tempoh beratus tahun lagi sebelum terjadi lintasan bulan antara bumi dan matahari.

Ramai peminat mencari tempat khas bagi menyaksikan fenomena alam semesta unik ini. Bagi para ilmuwan pula mereka akan mengesan data daripada gerhana matahari ini sebagai acuan untuk membantu menjelaskan apa-apa saja struktur dari matahari dan mengapa timbul ledakan di permukaannya. Para ahli astronomi berharap gerhana dapat menyingkap sejumlah petunjuk tentang matahari.

Sayang, kali ini gerhana matahari penuh dan lama ini tidak dapat dilihat sepenuhnya di Malaysia kerana sebahagian saja piringan matahari yang tertutup dek bayangan bulan.

Cuma 45 peratus akan diliputi pada pertengahan pagi. Jutaan rakyat India, China dan Hawaii akan bernasib baik menikmati jalur gerhana sepenuhnya yang berlaku pada abad ke-21 ini.

--PERPUSTAKAAN ILMU BAKA IPK--


Gerhana penuh matahari paling lama berlaku pagi tadi apabila bulan berada di antara matahari dan bumi menyebabkan sebahagian matahari terlindung. Atas kiri: Gambar Utusan dirakam di Menara Alor Setar. Atas kanan: Varanasi, India (AP). Bawah: Hyderabad, Pakistan (AP).

Tuesday, June 16, 2009

Kejohanan Lawn Bowl & Bola Jaring Piala KPN 2009



KONTINJEN IPK Kedah (kiri) dan IPK Selangor bergambar bersama pada majlis penutup Kejohanan Boling Padang dan Bola Jaring Piala KPN di Alor Setar semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

PASUKAN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dan Selangor masing-masing menjuarai Kejohanan Boling Padang dan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara (KPN) di Alor Setar semalam.

IPK Kedah mengesahkan kejuaraan dalam acara boling padang selepas menewaskan IPK Johor 3-0 pada perlawanan akhir.

IPK Selangor pula unggul dengan menjuarai acara bola jaring selepas membenam cabaran IPK Pulau Pinang di pentas final.

Begitupun, IPK Pulau Pinang masih boleh mendabik dada apabila dua pemainnya menerima anugerah penjaring terbaik dan pemain terbaik.

Inspektor Siti Rafizah Johari muncul penjaring terbanyak manakala Sarjan Saodah Ibrahim pula dipilih sebagai pemain terbaik.

Kejohanan yang bermula 8 Jun lepas itu merupakan acara tahunan dengan disertai seramai 600 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara yang mewakili 18 kontinjen.

"Kita mahu, bukan sahaja mereka boleh menjalankan tugas sebagai anggota polis tetapi aktif dalam pembabitan dengan sukan.

"Kejohanan ini juga sebenarnya adalah salah satu cara menyediakan atlet daripada kalangan anggota PDRM dalam persediaan mana-mana pertandingan tidak kira dalam atau luar negara," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Teks ucapannya itu disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Perjawatan Bukit Aman, SAC 11, Datuk Muhammad Nadzri Ismail.

Selain Kedah yang menjadi tuan rumah, turut bersaing pada kejohanan kali ini ialah kontinjen Bukit Aman, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Briged Tenggara, Pulapol Kuala Lumpur dan Maktab PDRM Bakri.

Monday, June 15, 2009

KEPUTUSAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KONTINJEN KEDAH PADA 7 MEI 2009 DI IPD BALING

Tuesday, April 14, 2009

Sekalung Tahniah - Y.B Menteri di JPM Yang Baru


KUALA LUMPUR 9 April - Y.B Mejar Jeneral Dato' Jamil Khir B. Hj. Baharom (B) memang tidak asing bagi mereka yang sering mengikuti program ceramah agama di kaca televisyen terutamanya rancangan Forum Perdana Ehwal Islam menerusi RTM1 setiap Khamis malam.

Ketokohan serta kepetahannya membicarakan perkara bersangkutan hukum agama Islam berjaya menarik perhatian penonton hingga menjadikan bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) ini cukup dikenali ramai.

Selain kerjayanya dalam tentera, Jamil yang fasih berbahasa Arab merupakan aktivis Islam yang aktif dan adalah anggota dalam Jawatankuasa Penasihat bagi Program Agama RTM.

Berkelulusan Sarjana (Masters) dalam Pengajian Islam (Pengurusan Ekonomi Islam) pada tahun 2000 daripada Graduate School of Islamic and Social Sciences, Virginia, Amerika Syarikat beliau kini sedang menyiapkan tugasan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah, Akademi Islam Universiti Malaya (UM) pada tahun 1986.

Justeru tidak hairanlah sekiranya anak kelahiran Yan, Kedah ini mendapat kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membarisi barisan Kabinet barunya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Pelantikan Jamil dalam Kabinet meneruskan kesinambungan Brig. Jen. (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin yang juga merupakan Pengarah Kagat sebelum dilantik memegang portfolio yang sama dalam Jabatan Perdana Menteri pada 7 Januari 2004.

Jamil, 48 tahun yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 23 tahun lalu memulakan kerjayanya dalam Kor Agama ATM dengan ditauliahkan sebagai Kapten (Tugas Iktisas) pada tahun 1986.

Beliau diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan di Jabatan Arah Kagat daripada Pegawai Staf 3 Hinggalah Pegawai Staf 1 Perkhidmatan.

Jamil kemudian dinaikkan pangkat sebagai Kolonel pada 1 April 2002 dengan jawatan yang sama sebelum memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Kagat pada tahun 2004.

Pada Oktober 2005, Jamil memegang jawatan Pengarah Kor Agama ATM dengan pangkat Brigedier Jeneral dan seterusnya beliau dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral pada 16 Januari tahun lepas yang mencatat sejarah apabila muncul sebagai Pengarah Kagat pertama yang dilantik sebagai Jeneral dua bintang.

Jamil berkahwin dengan Datin Fatmawati Saidin dan mempunyai enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, Jamil berkata, elemen kekuatan dan disiplin ketenteraan yang disemai selama berkhidmat dalam ATM akan menjadi pendorong untuk beliau melaksanakan tugas.

Beliau berkata, pelantikan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal keagamaan pada dasarnya mempunyai persamaan dengan Kagat yang diterajui selama ini.

'Ini ialah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan bersama sokongan semua pihak, saya yakin amanat ini dapat dilaksanakan, untuk menerajui aspek hal ehwal keagamaan dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini,' katanya.

Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan secara langsung merupakan pengiktirafan dan penghormatan kepada warga ATM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Kagat Kolonel Kamaruddin Mamat berkata, pelantikan Jamil merupakan satu penghormatan kepada Kagat sebagai institusi keagamaan dan sepanjang menerajuinya terserlah daya kepimpinan dan karisma beliau yang cemerlang. - BERNAMA

Sumber dipetik dari akhbar Utusan Malaysia Online - tarikh 10 April 2009

Tarikh : 10 April 2009
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM

Saturday, April 4, 2009

Perdana Menteri Malaysia yang ke-6


YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersalam dengan Najib selepas Seri Paduka mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan menerusi TV1 malam tadi menegaskan, pentadbirannya akan membawa pembaharuan bagi menempa satu zaman baru demi menjelmakan kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

"Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tiada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.

"Kita juga akan merapatkan hubungan rakyat dan kerajaan bagi mengelak masyarakat dikelirukan atau diperdaya oleh permainan muslihat politik," katanya.

Sambil mengajak seluruh rakyat untuk bersama melaksanakan transformasi besar berteraskan semangat 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' Najib berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat bagi membela nasib rakyat.

"Dalam situasi penuh mencabar ini, saya komited untuk memastikan kepemimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia," katanya.

Perdana Menteri mahu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan iktibar dengan pengajaran masa lalu berhasrat meneruskan agenda besar kerajaan membasmi kemiskinan, menstruktur semula masyarakat, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, serta meniupkan semangat generasi baru untuk berkhidmat kepada negara.

Najib berkata, dalam waktu terdekat ini, beliau akan bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.

Katanya, beliau akan mengambil inspirasi daripada dorongan Allahyarham bapanya untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya serta mengajak seluruh rakyat Malaysia memulakan satu langkah perjalanan hebat untuk negara.
sumber:

Friday, March 13, 2009

Pelajar Sekolah Agama skor 20 A dalam SPM 2008

NIK Nur Madihah yang memperoleh keputusan SPM 20 A (19 1A dan 1 2A) dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan bersama bapanya, Nik Mohd. Kamal Husin dan ibu, Mariani Omar.

KOTA BHARU 12 Mac – Seorang anak nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat sejarah dalam pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila memperoleh A dalam 20 mata pelajaran yang diambil.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu yang bercita-cita menjadi ahli fizik itu memperoleh 19 1A dan 1 A2.

Dia berusaha mengambil kesemua mata pelajaran itu dengan alasan untuk mencabar keupayaan dirinya sendiri dalam menimba ilmu pengetahuan. - Utusan


PUTRAJAYA 12 Mac – Seramai 10,080 daripada 442,936 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 di seluruh negara berjaya memperoleh kelulusan 10 A atau lebih dalam mata pelajaran yang diambil.
Sebanyak 1,676 calon atau 0.43 peratus pula berjaya mendapat gred 1A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan seorang calon berjaya mencatat 16 1A, 15 1A (dua orang) dan 14 1A (enam orang).
Mereka yang memperoleh 9 A pula seramai 5,863 calon, manakala 5,909 lagi mendapat 8 A.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu hari ini berkata, daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 347,443 atau 90.8 peratus calon mendapat sijil SPM.
Selain itu, katanya, seramai 6,277 calon atau 1.6 peratus berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 5,060 (1.31 peratus) pada 2007.
Menurut beliau, pada keseluruhannya, pencapaian calon SPM terutama calon sekolah di bawah kementerian adalah membanggakan dan mengatasi pencapaian tahun sebelumnya.
‘‘Pencapaian mereka meningkat dari segi peratusan bilangan memperoleh sijil, mendapat semua A dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki.
‘‘Pencapaian tersebut adalah stabil seperti mana pencapaian tahun-tahun sebelumnya,” kata beliau pada sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2008 di pejabatnya di sini.
Dalam peperiksaan tersebut, seramai 388,079 atau 87.6 peratus adalah calon sekolah kementerian, manakala selebihnya adalah calon sekolah kerajaan negeri, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kementerian Pertahanan, sekolah swasta dan persendirian.
Mengenai prestasi mata pelajaran teras, Alimuddin berkata, Bahasa Melayu mencatatkan kenaikan kepada 25.4 peratus bagi calon yang mendapat gred A1 dan A2 berbanding tahun 2007 (23.7 peratus).
Katanya, mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Moral, masing-masing mencatat peningkatan 2.8 peratus dan 3.8 peratus.
Tambah beliau, subjek Matematik pula mencatatkan sebanyak 26.5 peratus pelajar mendapat gred 1A-2A dengan peningkatan 1.1 peratus, manakala Sains meningkat ketara iaitu 3.1 peratus apabila 6.9 peratus pelajar mendapat gred 1A-2A.
Bagaimanapun, jelas beliau, prestasi pencapaian Bahasa Inggeris menurun sebanyak 1.6 peratus bagi calon yang mendapat gred 1A-2A, manakala Pendidikan Islam menurun 5.4 peratus.
Alimuddin seterusnya berkata, keputusan SPM 2008 turut menunjukkan jurang perbezaan pencapaian antara murid bandar dan luar bandar telah dapat dirapatkan.
‘‘Ini dapat dilihat daripada kenaikan prestasi mata pelajaran daripada 2007 ke 2008 yang lebih tinggi di luar bandar berbanding bandar.
‘‘Begitu juga penurunan peratus bilangan calon mendapat gred 9C (Gagal) lebih tinggi di kawasan luar bandar berbanding bandar,” katanya.

Oleh HELMI MOHD. FOAD
utusanputrajaya@utusan.com.my

Saturday, March 7, 2009

Selamat Datang Saudara Baru (Amar Irfan Abdullah)

Assalammualaikum warah matullah...
Ahlan Wasahlan wamarhaban bikaa......

Selamat datang diucapkan kepada Saudara Baru kita Lans Koperal Amar Irfan Bin Abdullah, salah seorang anggota PDRM Kontinjen Kedah bahagian Logistik.

Pintu Hati beliau telah diketuk oleh Hidayah Ilahi.Beliau telahpun memeluk Islam baru-baru ini.

Sempena dengan majlis Ceramah Bersiri BAKA pada 1 Mac 2009, Dato' Asri selaku Timbalan Ketua Polis Kedah sudi mengumumkan Pengislaman Saudara baru kita serta menyampaikan sedikit kelengkapan solat serta senaskah Al-Quran.


Friday, February 6, 2009

Dapatkan Pamplet Penerangan tentang Kaunseling & Agama



Dapatkan Pamplet penerangan tentang Perkhidmatan Kaunseling dan Tazkirah Agama (terdapat pada dinding tangga-bangunan IPK) yang akan diterbitkan pada setiap bulan oleh pihak Baka Kontinjen Kedah
(Bahagian Dakwah & Penerbitan)

PDRM TAWAR HADIAH LUMAYAN BUAT PEMENANG TILAWAH AL-QURAN (Peringkat Kebangsaan)


Ini Artikel Terbaru-TuanPenolong Pegawai Bahagian Logistik Pasukan Gerakan Am (PGA),Cheras, Sarjan Mejar Che Ismail Che Min menunjukkan naskah al-Quran bernilai RM 33,000, hadiah sebagai Johan tilawah al-Quran Tahun 2008 yang dianjurkan Oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Kebangsaan.Beliau juga turut membawa pulang wang tunai,trofi dan sijil serta berpeluang mengerjakan umrah yang dibiayai sepenuhnya oleh PDRM.

Pihak BAKA Kedah Menyeru supaya seluruh warga PDRM terutamanya di peringkat Kontinjen Kedah menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran Yang bakal diadakan tidak lama lagi, bukan sekadar untuk memperoleh hadiah yang lumayan tetapi niat untuk memperbaiki bacaan serta memperoleh keredhoan ALLAH S.W.T itulah, adalah yang lebih UTAMA....





(Keratan akhbar UTUSAN MALAYSIA-ruangan MEGA-Polis-SELASA 13 JANUARI 2009)

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP