Perdana Menteri Malaysia yang ke-6

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersalam dengan Najib selepas Seri Paduka mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, pagi semalam.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan menerusi TV1 malam tadi menegaskan, pentadbirannya akan membawa pembaharuan bagi menempa satu zaman baru demi menjelmakan kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.
"Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tiada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.
"Kita juga akan merapatkan hubungan rakyat dan kerajaan bagi mengelak masyarakat dikelirukan atau diperdaya oleh permainan muslihat politik," katanya.
Sambil mengajak seluruh rakyat untuk bersama melaksanakan transformasi besar berteraskan semangat 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' Najib berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat bagi membela nasib rakyat.
"Dalam situasi penuh mencabar ini, saya komited untuk memastikan kepemimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.
"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia," katanya.
Perdana Menteri mahu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan iktibar dengan pengajaran masa lalu berhasrat meneruskan agenda besar kerajaan membasmi kemiskinan, menstruktur semula masyarakat, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, serta meniupkan semangat generasi baru untuk berkhidmat kepada negara.
Najib berkata, dalam waktu terdekat ini, beliau akan bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.
Katanya, beliau akan mengambil inspirasi daripada dorongan Allahyarham bapanya untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya serta mengajak seluruh rakyat Malaysia memulakan satu langkah perjalanan hebat untuk negara.
sumber:
0 comments:
Post a Comment