Pegawai Kanan Polis Maut
Keadaan kereta Allahyarham Mohd. Hazam yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 419.8, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tagar, Kuala Kubu Bharu pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Hazam Abdul Halim maut dalam satu nahas jalan raya di Kilometer 419.8, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bukit Tagar, Kuala Kubu Bharu awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Mohd. Hazam, 50, yang menaiki Proton Perdana V6 berada di tempat duduk hadapan.
Ketua Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, ketika kejadian, kenderaan mangsa yang dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Bukit Aman merempuh bahagian belakang sebuah treler membawa muatan tiang lampu yang berhenti di lorong kecemasan.
"Ekoran kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di dalam kenderaan tersebut.
"Polis terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi semalam.