Tuesday, February 2, 2010

Lelaki cuba pecah rumah jurulatih mati ditembak



KUALA TERENGGANU 1 Feb. – Akibat dikatakan cuba memecah masuk rumah seorang jurulatih menembak, seorang lelaki mati ditembak pemilik rumah itu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ini ketika lelaki itu yang tidak dikenali identitinya cuba mengumpil pintu rumah jurulatih tersebut di Gong Badak di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, lelaki terbabit mati selepas terkena dua das tembakan di dada yang dilepaskan oleh jurulatih itu.

“Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku di belakang rumah jurulatih berkenaan.

“Polis merampas senjata api jenis Glock .22 Caliber yang digunakan dalam kejadian itu dan menahan jurulatih berusia 48 tahun terbabit bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, menurut seorang saksi, isteri kepada jurulatih itu menghubungi suaminya selepas dia ternampak mangsa mundar mandir di belakang rumah mereka, kira-kira pukul 4 petang ini.

“Sebaik sahaja jurulatih itu pulang, saya dengar berlaku pertengkaran sebelum dua das tembakan dilepaskan,” kata saksi itu yang enggan dikenali.

Menurut Zamri, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 304 kerana bunuh tanpa niat.

Katanya, identiti lelaki yang mati itu belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

0 comments:

  © Blogger template 'A Click Apart' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP